Umum

Siapa Bakal Hilang Subsidi RON95? Kerajaan Akan Buat Keputusan Tidak Lama Lagi

Siapa Bakal Hilang Subsidi RON95? Kerajaan Akan Buat Keputusan Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada golongan berpendapatan tinggi akan terus menikmati subsidi petrol RON95 dijangka terjawab tidak lama lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak bagi golongan berpendapatan tinggi, namun keputusan muktamad masih belum dibuat.

Menurut beliau, definisi kumpulan yang terlibat juga masih diperhalusi bagi memastikan langkah itu tidak membebankan golongan kelas menengah atasan.

“Mereka sedang menelitinya dan kita akan putuskan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya.

T5, T10, T15 atau T20?

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sedang mengkaji sama ada pelaksanaan itu akan melibatkan golongan T5, T10, T15 atau T20.

Kajian tersebut dijalankan oleh jawatankuasa yang diketuai tokoh korporat Tan Sri Hassan Marican.

Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan sebarang keputusan dibuat secara teliti supaya bantuan subsidi dapat disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Subsidi bersasar untuk yang layak

Cadangan rasionalisasi subsidi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan perbelanjaan kerajaan lebih efisien, khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan kos sara hidup.

Langkah itu juga bertujuan supaya manfaat subsidi dapat disalurkan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih memerlukan bantuan.

Cadangan turut disokong Pemuda Umno

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata pihaknya akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan T20 ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Menurut beliau, subsidi bersasar penting bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Setakat ini, tiada keputusan rasmi diumumkan mengenai kumpulan yang bakal terlibat, namun kerajaan dijangka membuat keputusan dalam masa terdekat.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top