Ragnarok Zero Kini Dibuka Untuk Open Beta Global
KUALA LUMPUR – Bagi generasi cyber cafe awal 2000-an, nama Ragnarok Online memang cukup legenda.
Daripada lepak berjam-jam di Prontera sampai sanggup berjaga malam leveling karakter, game ini pernah jadi antara MMORPG paling popular dalam kalangan gamers Malaysia.
Kini, nostalgia itu kembali apabila Gravity Game Unite (GGU) secara rasmi membuka Open Beta Test (OBT) untuk Ragnarok Zero: Global.
Versi baharu ini masih mengekalkan elemen klasik Ragnarok seperti grafik 2D pixel, muzik latar ikonik dan dunia Midgard yang cukup dikenali pemain lama.
Namun kali ini, ia hadir dengan pelbagai penambahbaikan moden termasuk sokongan tujuh bahasa, sistem auto-hunt, antaramuka lebih mesra pengguna dan gameplay yang lebih mudah diakses pemain baharu.
Masih ada job klasik Ragnarok
Dalam OBT ini, pemain boleh memilih enam job klasik Ragnarok Online iaitu Swordsman, Mage, Merchant, Acolyte, Thief dan Archer.
Pemain juga boleh bermain sehingga Level 50 sepanjang tempoh open beta berlangsung.
Menurut Gravity Game Unite, Ragnarok Zero direka untuk memberikan pengalaman lebih santai dan kurang “grind” berbanding versi asal.
Sistem auto-hunt membantu pemain memburu monster dengan lebih mudah manakala laluan perjalanan yang dipermudahkan mengurangkan masa bergerak antara kawasan.
Ada hadiah eksklusif untuk pemain OBT
Sepanjang tempoh OBT, pemain boleh menyertai pelbagai event khas termasuk ganjaran log masuk harian, event laporan bug, survey pemain dan event screenshot media sosial.
Pemain yang menyertai event tertentu juga berpeluang mendapatkan title eksklusif “Pioneer” serta item khas apabila game dilancarkan secara rasmi nanti.
Malah, pemain yang melanggan pelan enam bulan atau lebih sepanjang tempoh OBT akan menerima costume item edisi terhad.
Nostalgia gamer lama kembali hidup
Sejak OBT bermula, komuniti Ragnarok dari Asia Tenggara, Eropah dan Oceania dilihat aktif berkongsi screenshot, menyertai event dan berbincang di media sosial rasmi game tersebut.
Gravity Game Unite turut mengumumkan bahawa versi rasmi nanti bakal memperkenalkan server global gabungan Asia Tenggara, Eropah dan Oceania.
OBT Ragnarok Zero: Global berlangsung sehingga 28 Mei ini dan pemain boleh memuat turun game tersebut menerusi laman rasmi Ragnarok Zero.
Bagi gamer lama, mungkin ini masa terbaik untuk kembali ke Prontera sekali lagi.
