Politik

Tujuh tawaran transformasi mampu beri impak positif

KUALA LUMPUR: Tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan hari ini mampu memberikan impak positif terhadap sistem Parlimen dan senario politik dalam negara.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata tawaran itu bukan sahaja memberi faedah kepada kerajaan tetapi juga pihak pembangkang yang berminat melakukan transformasi Parlimen.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh tawaran itu akan menyuburkan demokrasi iaitu terhadap institusi Parlimen yang menjadi teras demokrasi berperlembagaan dan juga pembentukan masyarakat madani, tadbir urus yang baik serta kepemimpinan dalam negara.

“Bagi saya, tawaran itu menarik untuk beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) teruskan kerana itu akan memberikan impak yang positif, bukan sahaja ke atas reformasi Parlimen tetapi bagaimana reformasi Parlimen itu juga akan membawa kepada reformasi parti politik.

“Itu (tawaran berkenaan) juga boleh menjadi batu loncatan kepada populariti Perdana Menteri sendiri untuk membina keyakinan dan kepercayaan jika sekiranya beberapa daripada tujuh (tawaran) itu dapat dibawa ke Parlimen dan sekurang-kurangnya dibentangkan,” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Sivamurugan berkata, sekiranya tawaran itu tidak mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen, sekurang-kurangnya Perdana Menteri telah menjalankan tanggungjawab untuk membawa perkara itu ke Parlimen dan terpulang kepada perdebatan dalam kalangan wakil rakyat.

“Ini (tawaran) tidak semestinya terus diwartakan. Ada beberapa bacaan (di Parlimen), dan saya percaya kalau sekurang-kurangnya dibawa ke bacaan pertama pun dah cukup (untuk mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen),” katanya.

Kerajaan Persekutuan hari ini menawarkan tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Antara yang terkandung dalam tawaran itu ialah pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, selain ahli parti pembangkang akan turut dibabitkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Sementara itu, penganalisis politik dan geostrategis, Azmi Hassan, berkata kesemua tawaran itu boleh dilihat sebagai hasrat ataupun konsep Keluarga Malaysia.

Azmi berkata, dalam usaha menangani pandemik COVID-19 serta transformasi institusi Parlimen, kerjasama kerajaan dan pembangkang adalah diperlukan.

“Sebab itu tawaran dibuat, bukan sahaja tawaran menyertai MPN, tetapi juga keseimbangan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebab sekarang majoritinya kerajaan.

“Jadi tawarannya keseimbangan, kemungkinan besar 50-50 (seimbang). Jadi antara yang pembangkang tidak puas hati adalah suara mereka kecil dalam jawatankuasa Parlimen, ini dikatakan tawaran supaya pembangkang dan kerajaan bekerjasama antara satu sama lain demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau turut berpandangan pembangkang harus menerima ketujuh-tujuh tawaran terutama penglibatan dalam MPN untuk memberi pandangan dan cadangan penambahbaikan kerana ia bersifat objektif dan mempunyai tujuan yang nyata.

“Ini adalah keputusan yang paling mudah oleh pembangkang, maksudnya mereka tidak perlu berfikir ada niat tersirat kerajaan kerana niat yang tersurat adalah supaya dasar yang dikeluarkan oleh majlis ini adalah dasar yang terbaik dengan pembangkang juga dikatakan menjadi pihak berkepentingan.

“Jadi apabila dasar itu keluar, maknanya dasar itu dipersetujui secara bersama dan pembangkang tidak boleh merungut lagi lepas ini,” katanya.

Azmi turut menyifatkan tawaran yang dikemukakan hari ini sebagai ‘hadiah’ kepada institusi Parlimen yang bakal menginjak usia 62 tahun esok dan seharusnya ulang tahun itu diambil iktibar oleh wakil rakyat dalam hujahan, perbahasan mereka supaya nampak ‘berisi’ selain menampilkan kematangan terhadap tingkah laku masing-masing dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.– BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top