KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan prestasi yang memberangsangkan pada separuh pertama 2021 apabila pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, prestasi mengagumkan itu menandakan keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang stabil serta kondusif di negara ini.

Ia sekali gus menunjukkan hala tuju Malaysia kepada pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan, tambah beliau.

“Prestasi luar biasa ini juga menunjukkan bahawa strategi Malaysia untuk meletakkan negara ini sebagai destinasi pilihan pelaburan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, terutama untuk operasi pembuatan, telah menunjukkan hasil yang positif.

“FDI didorong prestasi sektor pembuatan yang kukuh dalam tempoh tersebut, mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM58.2 bilion.

“Sementara, selebihnya RM8.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini adalah daripada sumber domestik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dari segi jumlah pelaburan yang diluluskan, Mohamed Azmin berkata Malaysia mencatat RM107.5 bilion pelaburan langsung asing dan domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, menyaksikan lonjakan besar sebanyak 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang amat mencabar akibat pandemik COVID-19, pelaburan tersebut katanya, dicapai melalui 2,110 projek dan diharap dapat mewujudkan 4,994 peluang pekerjaan di negara ini.

BERITA LANJUT MENYUSUL…