Tech

KKMM wajar diberi peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2022, bangunkan sistem telekomunikasi

Peruntukan lebih besar wajar diberikan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam Belanjawan 2022 bagi membangunkan sistem telekomunikasi negara bertaraf antarabangsa setaraf dengan negara maju, kata Senator Aziz Ariffin.

Beliau berkata sistem telekomunikasi merupakan kepentingan utama dalam memacu ekonomi negara, terutama ketika Malaysia dalam peperangan menangani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi serta kehidupan masyarakat seluruh dunia.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana beri tumpuan utama pembangunan telekomunikasi di kawasan luar bandar.

“Sehubungan itu, saya menyarankan agar Bajet (Belanjawan) 2022 diberikan peruntukan lebih besar kepada KKMM bagi membangunkan sistem telekomunikasi bertaraf antarabangsa setaraf negara-negara maju,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini pada Selasa.

Aziz turut mencadangkan kerajaan supaya mempertimbang untuk menjadikan Perlis sebagai projek rintis berkaitan liputan jalur lebar dan rangkaian 5G secara 100 peratus sebelum diperluas ke seluruh negara.

Sementara itu, Senator Datuk Paul Igai ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong mencadangkan KKMM diberi peruntukan tambahan segera bagi mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur serta sistem telekomunikasi selain capaian Internet dalam negara.

Menurutnya perkhidmatan Internet agak bermasalah di kawasan pedalaman seperti Sarawak, Sabah, Kelantan dan Selangor yang berlaku ketika negara dilanda pandemik.

“Cukuplah anak-anak sekolah menderita naik pokok, gunung, digigit nyamuk, melawan hujan, pakai mosquito net (kelambu) untuk mencari akses Internet di hutan…mohon KKMM diberi peruntukan tambahan segera untuk mempercepatkan kerja tersebut (menaik taraf sistem telekomunikasi), double the effort (kerja-kerja naik taraf,” katanya.

Senator Datuk John Ambrose yang turut membangkitkan isu sama dalam sesi perbahasan itu, meminta kerajaan memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar-dasar komunikasi serta memberi peruntukan bagi penggunaan teknologi satelit.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan capaian Internet yang baik di setiap pelusuk negara bermula dari negeri Sabah.

“Hanya dengan penggunaan teknologi satelit kita akan dapat sambungan Internet tidak kira di mana pun tempat (kita berada),” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top