Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia mengambil alih kes insiden penyokong pasukan pelawat yang masuk ke dalam padang ketika aksi Piala Malaysia membabitkan antara Selangor FC dan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad lalu.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) adalah badan yang akan mengendalikan kes berkenaan memandangkan ia adalah kejohanan di bawah kelolaan MFL.
Namun, beliau menegaskan pihaknya bersedia untuk mengambil tindakan dengan merujuk isu berkenaan kepada Jawatankuasa Disipilin FAM sekiranya diminta oleh MFL.
“Berkaitan semua operasi pertandingan di bawah MFL…MFL yang akan ambil tindakan yang perlu dan sepatutnya.
“Jika perkara ini perlu di bawa ke Jawatankuasa Disiplin FAM, kemudian barulah kita akan ambil alih. Sebelum itu, MFL yang kena menentukan sama ada bersalah ke tak bersalah ke.
“Mungkin dalam operasi OTP (Organisasi Teknikal Perlawanan) ada menyatakan yang kalau pun didapati penonton yang masuk kena denda dan sebagainya, mungkin ia boleh digunakan artikel itu atau yang berikutnya,” katanya.
Pada aksi itu, Terengganu meraih kemenangan 3-1 ke atas Selangor. Insiden berkenaan berlaku selepas jaringan kedua yang diperoleh menerusi Jordan Mintah pada minit ke-70 yang menyaksikan penyokong pelawat masuk ke padang untuk meraikan gol itu bersama pemain skuad Penyu.
Tindakan itu nyata melanggar peraturan pertandingan disamping pemain berisiko dijangkiti Covid-19 susulan sentuhan dari penyokong ke atas pemain itu.
Malah, insiden terbabit turut menimbulkan persoalan tahap keselamatan daripada pihak tuan rumah, di mana pasukan Selangor jelas menyediakan kawalan keselamatan yang longgar.