Isu peningkatan harga barang terutama barang basah secara mendadak menjadi satu tekanan kepada rakyat Malaysia apabila mereka masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
Rata-rata mereka menyeru juga berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menangkis dengan segera masalah isu kenaikan harga barang ini.
Tinjauan yang dilakukan di Pasar Datuk Keramat mendapati kenaikan harga barang pada sekitar 10 hingga melebihi 50 peratus.
Seorang pengguna Zamri Husin, 48, berkata harga daging lembu tempatan umpamanya, kini mencecah RM34 sekilogram berbanding sekitar RM28 sekilogram sebelum ini.
“Itu belum lagi harga tulang dan paru yang turut meningkat beberapa peratus. Harga sayur pun naik antara 10 sen dan hampir RM1. Saya rasa kena kawallah kalau tidak beban kami sebagai pembeli terus bertambah,” katanya.
Seorang suri rumah Fauziah Hasnan, 47, turut merungut tentang kenaikan harga ayam yang kini dakwanya mencecah RM9 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini.
“Harga ini dah berlanjutan sejak beberapa bulan. Harga terus naik tidak turun-turun dan yang bebannya kamilah,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa kenaikan harga ayam dan sayur-sayuran berpunca peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun antara punca menyumbang kepada kenaikan harga produk itu di pasaran ketika ini.
“Beberapa pelan tindakan sedang dirangka melibatkan ketiga-tiga kementerian (Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan saya amat berharap tindakan ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin bagi membantu pengguna dan peniaga yang terkesan teruk,” kata Nanta menerusi kenyataan di Facebook pada 25 Nov lepas.
Kenaikan harga barang basah itu sebenarnya turut merunsingkan para peniaga dan mengatakan kenaikan itu tidak dapat dielakkan atas beberapa faktor terutama daripada pihak pembekal.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Mohammad Pandu Insani Yahya berkata berikutan itu peniaga juga terpaksa mengeluarkan modal tinggi untuk mendapatkan barangan tersebut menyebabkan berlaku sedikit kenaikan harga.
“Apabila kami beli pun harganya sudah meningkat, kos kenaikan itu juga terpaksa ditanggung pembeli namun saya harapkan peniaga janganlah ambil kesempatan untuk naik harga melambung. Kadang-kadang kami rugi apabila pembeli tidak membeli barangan kami,” katanya.
Seorang peniaga daging lembu tempatan Muhammad Latiff, 25, mengakui harga seperti daging lembu tempatan, paru dan tulang import agak sedikit meningkat hingga ada pembeli enggan membeli daging kerana dikatakan mahal.
Sementara itu, peniaga ayam, Zakaria Hamzah, 35, berkata peningkatan harga ayam kali ini membuatkan dia sebagai peniaga rasa tertekan kerana berada dalam dilema antara pelanggan dan pembekal.
“Kami sebagai peniaga perlu menaikkan harga barang, kalau dahulu kami boleh menjual RM7.50 hingga RM8 sekilogram kini kami terpaksa menjual dengan harga RM9.50 hingga RM10 sekilogram kami pening untuk menjawab kepada pelanggan kami,” katanya.