Umum

Sayap Bersatu perlu semangat berpasukan, jangan menunding jari: Faizal

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa sayap Bersatu, Armada dan Srikandi supaya bekerja sebagai satu pasukan dan perlu memperbaiki kelemahan jika mahu memenangi pilihan raya umum nanti.

Faizal berkata kekalahan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dijadikan pengajaran dan pengalaman yang dipelajari perlu dijadikan iktibar supaya Armada dan Srikandi tidak mengulangi kesilapan sama pada masa depan.

“Semangat berpasukan kita juga masih longgar. Berdasarkan maklum balas di bawah, mereka (rakyat) suka cara kita berkempen, kita ambil pendekatan sederhana, santai dan tenang, tetapi jangkauan kita tidak merata.

“Akhirnya, kita tewas di 26 kerusi daripada 28 yang kita tandingi. PRN Melaka membuktikan, angin sokongan kepada Abah dan PN sudah padu dan kuat, namun jentera dan jangkauan kita mesti diperkukuh,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan (PAT) Armada dan Srikandi Bersatu hari ini.

Faizal juga menggesa supaya jentera parti peringkat akar umbi perlu diperbaiki kerana sumbangan mereka amat diperlukan bagi membantu parti semasa berkempen dalam pilihan raya.

“Jentera asas kita seperti ejen pengiraan undi kena diperkukuh. Kita perlu minta mereka yang bersama kita secara senyap, keluar dan sumbangkan tenaga kepada parti,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sikap menuding jari menyalahkan jentera tempatan juga menjadi faktor kekalahan calon Bersatu di PRN Melaka, selain masih kurang ‘ilmu’ pilihan raya.

“Pada peringkat awal (PRN Melaka), saya dan ramai rakan pimpinan dapat menghidu udara kemenangan. Penerimaan rakyat dan pengundi kepada ‘abah’ saya sifatkan luar biasa, kita dapat rasa penerimaan positif rakyat.

“Tetapi sayang, hari demi hari, kita mula melihat kelompongan dan kelemahan kita di sana-sini.

“Kita terlalu banyak menuding jari di Melaka dan tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri. Kita suka tengok orang buat kerja supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi.

“Kita juga selalu seronok dengan kumpulan kita sendiri, pergi Melaka, kumpul sesama sendiri, tidak turun mendekati pengundi,” katanya.

PRN Melaka menyaksikan PN tewas di 26 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, dengan Bersatu yang mempertaruhkan 15 calon mewakili Perikatan Nasional (PN) hanya menang dua kerusi.

Dalam berdepan PRU-15 nanti, Faizal berharap semua pemimpin peringkat akar umbi mempersiapkan diri dan tidak lupa dengan asas perjuangan penubuhan Bersatu.

:Sepanjang tempoh 6 tahun yang lalu ini, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah SWT.

Daripada sebuah parti politik biasa; berhadapan dengan gelombang kekuasaan dan keutuhan wang ringgit; kita menempuh halilintar ujian politik luar biasa.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT; kebersamaan kita mengiringi ‘gelombang kebangkitan rakyat’; akhirnya memungkinkan kita beroleh kemenangan dan kedudukan.

“Bila kita diberikan jawatan dan kedudukan; itu juga adalah ujian Allah SWT. Sebahagian kita; saya ulang ya, ‘sebahagian’; jadi lupa dengan asas perjuangan kita. Bayangkan, dulu tak ada jawatan; sekarang Allah bagi jawatan – Allah uji kita,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa supaya pengukuhan semua nilai politik dalaman, terutamanya dalam menghargai jentera akar umbi parti.

“Ayuh kita gunakan pentas kali ini, kita lakukan pengukuhan semula nilai politik dalaman.

“Kita perlu berbalik kepada asas dan teras perjuangan kita. Kita perlu menghargai jentera akar umbi parti; kerana mereka-lah nadi kekuatan kita.

“Kita perkukuh kemesraan dan semangat kekeluargaan sesama kita. Kita perlu jujur dan ikhlas dengan diri sendiri,” ujarnya lagi.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top