Hampir setiap masa, wajahnya sugul, kerap termenung dan dari matanya, boleh ditebak renungannya kosong.
30 tahun menetap di teratak kayunya di Kampung Dusun Tua, Sungai Lui, hati Mohd Riffin Mohd Arsat luluh melihat rumahnya rebah dirempuh bah yang luar biasa dahsyatnya.
Hatinya remuk tatkala mata terpandang rumahnya lalu pantas dia alihkan pandangan, melihat pula rumah lain yang turut sama terkesan namun tidaklah rebah ke bumi seperti rumahnya.
Tiada lagi tangisan, sudah kering semua, katanya kepada Astro AWANI namun dari riak wajahnya, jelas dia menyimpan kesedihan yang amat mendalam.
Begitupun, dia reda, dia tahu ini ujian buatnya dan walaupun berat untuk terima, Mohd Riffin berserah semuanya kepada Yang Maha Esa.
“Kita nak menangis macam mana, saya pun…tak tahu nak cakaplah, dah tiada lagi dah. Nangis tu pun dah lari jauh dah.
“Air mata tiada lagi dah…dah tiada dah, dah tak larat, dah tak mampu lagi. Nak tengok rumah pun tak boleh. Satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Di kampung tersebut, rumahnya antara yang teruk terjejas.
Bukan sahaja rebah ke tanah malah rumahnya ‘berpusing’ dengan pintu yang dulunya di depan kini beralih ke tepi malah keseluruhan rumah terpisah daripada tiang yang menyokongnya.
Melihatkan rumahnya yang hampir musnah, terus terpacul soalan di manakah dia akan tidur dan jawapan yang keluar dari mulutnya sangat menyedihkan.
Menurutnya, pondok bas yang berada berhampiran rumahnya kini menjadi kediamannya dan kerusi batu yang keras itu pula menjadi tilam barunya.
“Duduk sini (pondok bas) sajalah. Tak tahulah…tak boleh nak cakap, tiada daya dah, tak mampu dah.
“(Tidur di pondok bas lagi ke nanti?) Habis dah kalau saya tiada rumah, nak duduk mana, duduk sinilah, duduk di pondok bas, di sinilah saya tidur.
“Pondok bas ini jadi rumahlah. Kalau tak pulih rumah saya, macam mana saya nak buat. Takkan saya nak tidur rumah…bahaya,” ujarnya.
Lokasi pondok bas itu yang betul-betul di sebelah jalan raya menyebabkan kawasan itu dipenuhi debu.
Begitupun, anak dan anak saudaranya memasang kanvas di sekeliling pondok bas, mengurangkan sedikit debu yang masuk ke ‘rumah’ lelaki berusia 58 tahun itu.
Namun, dengan bekalan elektrik yang masih belum ada, dia hanya bertemankan lilin dan ubat nyamuk pada waktu malam, ditemani unggas dan jiran-jiran di sebalik kepekatan malam.
Begitulah realitinya, realiti yang harapnya terlepas pandang, bukan sengaja dipinggirkan sebegitu rupa.
Kita ini orang Islam macam itulah, mesti kuat, teguh walaupun tak kiralah kerajaan tak bantu, kita cuba sedaya upaya.
“Tidur pondok bas pun,tidurlah. Kita hidup, teruskan hidup,” katanya.