Mohamed Salah, secara tidak dijangka, gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Liverpool tewas 0-1 kepada Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power awal pagi tadi.
The Reds menyasarkan untuk merapatkan jurang daripada enam kepada tiga mata dengan pendahulu liga, Manchester City, tetapi mereka sebaliknya tewas buat kali pertama sepanjang 11 perlawanan dalam kesemua kejohanan.
Bekas pemain Everton, Ademola Lookman, menjaringkan gol tunggal menjelang sejam permainan, tidak lama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, sekali gus memberikan Leicester gol pendahuluan selepas Salah gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam babak pertama.
Liverpool, yang menyingkirkan Leicester dalam suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) minggu lalu, tidak dapat memberikan respons dan terpaksa akur rekod jaringan dalam 34 perlawanan berturut-turut mereka ditamatkan.
Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu memperoleh sepakan penalti seawal minit ke-15 apabila Salah dijatuhkan Wilfred Ndidi tetapi sepakan pemain kebangsaan Mesir itu diselamatkan penjaga gol, Kasper Schmeichel, sebelum tandukan susulannya terkena palang gol.
Dalam babak kedua, hantaran rendah Kiernan Dewsbury-Hall berhasil menemui Lookman, yang baru dimasukkan selama tiga minit, sebelum pemain pinjaman daripada RB Leipzig itu melakukan gelecekan untuk mengatasi Joel Matip dan seterusnya menewaskan penjaga gol, Alisson.
Leicester kehilangan James Maddison berikutan kecederaan pada lewat permainan tetapi kental bertahan untuk merekodkan perlawanan tanpa dibolosi buat kali kedua sejak minggu pertama musim ini.
Off the bench, in the goals ✅@Alookman_ // #LEILIV pic.twitter.com/Y7iMVlECff
— Premier League (@premierleague) December 28, 2021