Prihatin dengan keluh kesah rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Perikatan Nasional (PN), hari ini telah melancarkan Jualan Prihatin Rakyat Perikatan Nasional secara pandu lalu di Dataran Pagoh Jaya.
Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi program itu penduduk sekitar boleh membeli pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang sangat berpatutan.
“Menerusi program ini, orang ramai boleh mendapatkan set barangan makanan yang mengandungi beras lima kilogram, seekor ayam segar, 30 biji telur ayam dan satu kilogram gula hanya pada harga RM20 sahaja.
“Alhamdulillah, Jualan Prihatin Rakyat mendapat sambutan hangat daripada penduduk di sini yang beratur panjang sejak awal pagi membeli barangan keperluan masing-masing.
“Sebanyak 5,000 pek disediakan untuk program di Pagoh yang secara tidak langsung dapat meringankan sedikit beban 5,000 keluarga di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, program itu akan dilaksanakan di beberapa kawasan lain di Johor dan seluruh negara dalam waktu terdekat.
Katanya lagi, sesungguhnya program Jualan Prihatin Rakyat adalah manifestasi kesungguhan PN bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Program itu lahir daripada keprihatinan mendalam parti PN yang turut terasa dengan kesan kenaikan harga barang di pasaran.
“Inisiatif ini juga selaras dengan cadangan Majlis Pemulihan Negara yang mahu Gerai Prihatin Rakyat diwujudkan di seluruh negara bagi membantu rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Saya mengambil maklum rungutan rakyat akhir-akhir ini ekoran peningkatan mendadak kebanyakan harga barangan pengguna terutama barangan makanan.
“Saya berpandangan kenaikan ini jika tidak dikawal sudah tentunya menjejaskan proses pemulihan negara yang sekarang ini sedang berjalan dengan baik,” ujarnya.
Turut bersama dalam program ini adalah kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon serta kepimpinan tertinggi PN termasuk Presiden Gerakan Dr. Dominic lau.