Seorang Anggota Tentera Malaysia (ATM) maut dalam kemalangan membabitkan lori ATM di Kilometer 16 Jalan Penawar – Punggai, petang semalam.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata dalam kejadian jam 3.40 petang berkenaan, anggota berusia 23 tahun itu maut di lokasi kejadian.
Katanya kejadian dipercayai berpunca apabila lori ATM yang dinaiki empat anggota dam seorang pegawai tentera itu gagal memotong kenderaan lain.
“Kenderaan ATM itu dalam perjalanan daripada Pos Tg leman Mersing ke Pos Tg Sepang, Pengerang. kemalangan hanya membabitkan lori ATM dan tiada kenderaan awam terlibat.
“Siasatan awal mendapati punca nahas yang berlaku dipercayai gagal memotong dan akibatnya, seorang anggota tentera meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Selain itu, dua anggota tentera cedera parah manakala dua lagi termasuk pegawai tentera mengalami cedera ringan. Anggota yang cedera parah menerima rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi.
“Buat masa ini, pihak polis masih lagi dalam peringkat siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kematian anggota tentera akibat kemalangan yang berlaku,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.