Umum

58 kubur lama berusia lebih 100 tahun dipindahkan

Sejumlah 58 kubur lama di Tanjung Betong berdekatan Kampung Kuala Telang dipindahkan ke Tanah Perkuburan Kampung Berala dekat sini.

Kubur dipercayai berusia lebih 100 tahun itu dipindahkan ekoran ancaman runtuhan tebing Sungai Jelai berikutan kesan banjir yang berlaku hampir setiap tahun.

Pegawai Agama Islam Daerah, Mohd Zainudin Zakaria berkata, keadaan runtuhan tebing sungai berkenaan yang semakin kritikal mengharuskan pemindahan kubur dilakukan kerana terdapat keperluan dan kewajaran yang perlu diambil kira.

“Penggalian kubur dibuat sedalam kira-kira 1.83 meter bagi tujuan mengesan jenazah dan sekiranya tidak dijumpai, tanah berwarna hitam yang disifatkan sebagai cebisan mayat diambil dan dimasukkan ke dalam kain putih berkarung sebelum dikebumikan.

“Daripada 58 jenazah itu, terdapat lapan yang masih ada sisa tulang yang utuh dan kita kebumikan dalam liang lahad baharu. Manakala selebihnya kita kumpul dan kebumikan dalam satu liang lahad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Proses Pengalihan Kubur Lama Tanjung Betong ke Tanah Perkuburan Kampung Berala di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Mufti Pahang, Datuk Abdul Zaki Md Zin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Nizam Abdul Manan; Pegawai Agama Daerah Jerantut, Syarifuddin  Mohd Saad dan Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Norzaimah Mohd Idris.

Mohd Zainudin berkata, proses pengalihan kubur tersebut mendapat kerjasama pihak forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Sultan Ahmad Shah, Hospital Jerantut dan Hospital Lipis.

Turut hadir membantu, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal Lipis, waris serta penduduk kampung.

Beliau menjelaskan, proses pengalihan yang berlangsung selama dua hari itu mendapat kebenaran pejabat Mufti Negeri Pahang  dan telah dimulakan dengan majlis tahlil.

Sementara itu, Norzaimah berkata, usaha mencari batu nisan atau sebarang tanda perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum aktiviti menggali dan memindahkan jenazah.

“Pihak kami akan mengadakan perbincangan dengan JAIP sebelum membuat sebarang keputusan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesulitan serta isu berbangkit di kemudian hari.

“Proses pengalihan kubur ini antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami,” katanya.

Seorang waris, Abdul Latif Lebai Bakar, 70 tahun, berkata, dia sekeluarga menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pihak berkenaan bagi mengalihkan kubur lama ke kawasan baharu.

“Di sini ada kubur arwah ayah saya, Lebai Bakar Said yang meninggal dunia pada tahun 1968. Setiap kali pulang ke kampung pasti saya akan menziarahi pusaranya.

“Cuma hati saya sentiasa bimbang apabila  melihat kubur arwah ayah yang hanya beberapa meter sahaja dari hakisan tebing.

“Justeru, ketika dimaklumkan tentang adanya proses pengalihan kubur ini saya menyambutnya dengan baik,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top