Umum

Malaysia Airlines sasar jualan RM100 juta sempena Matta Fair

Malaysia Airlines Berhad menyasarkan jualan RM100 juta untuk tiket penerbangan sepanjang kempen MATTA Fair yang akan berlangsung bermula 8 hingga 17 April 2022.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, sasaran itu akan didorong jualan daripada destinasi popular seperti London, Australia, Kuching dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, ia juga susulan kejayaan penganjuran Malaysia Airlines Travel Fare (MATF) berakhir 4 April lalu yang menyaksikan tiket penerbangan yang paling laris adalah Kuching, Kota Kinabalu dan London.

“Sasaran jualan RM100 juta ini sememangnya sangat tinggi tetapi kami percaya ia mampu dicapai dan jika tidak berjaya tidak mengapa, kerana kami sudah semakin menghampiri sasaran itu,” katanya pada sidang media bersempena dengan penganjuran MATTA Fair pada 9 hingga 10 April 2022, lapor Berita Harian.

Turut hadir, Bendahari Kehormat Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong.

Matta Fair akan berlangsung secara dalam talian bermula dari 8 April hingga 17 April 2022 dan secara fizikal selama dua hari bermula 9 hingga 10 April 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Yin May berkata, sempena Matta Fair, Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 45% bagi destinasi domestik dan antarabangsa terpilih.

Bagi, penerbangan Firefly, pengembara berpeluang menikmati potongan harga sehingga 50% apabila membuat tempahan menerusi aplikasi mudah alih atau laman webnya bermula 7 hingga 10 April ini untuk perjalanan bermula dari 14 April hingga 29 Oktober 2022.

Sementara itu, Nigel berkata, Malaysia Aviation Group (MAG) merangkumi Malaysia Airlines, Firefly dan Maswings, diumumkan sebagai penerbangan rasmi untuk MATTA Fair kali ini.

“Pengunjung MATTA Fair akan mempunyai peluang untuk membeli pelbagai pakej percutian menarik dan berbaloi dengan wang, sama ada di dalam atau luar negeri membabitkan lebih 20 syarikat pelancongan,” katanya. – DagangNews.com

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top