Kerajaan diharap agar dapat mengeluarkan ganja daripada berada di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk mempermudahkan pengajian terhadapnya oleh para penyelidik.
Kata Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid, kekangan tersebut menyekat sebarang usaha untuk mencari potensi tumbuhan tersebut untuk tujuan perubatan dengan lebih lanjut.
Jelas beliau, terdapat dua bahan kimia utama terkandung dalam tumbuhan tersebut, iaitu THC (tetrahydrocannabinol) yang katanya mendatangkan kesan euforia dan ketagihan, serta CBD (cannabidiol) yang memberikan kesan penenang.
Bahan CBD dalam ganja itu, jelas Dr Rusdi, yang berpotensi untuk menjadi ubat atau suplemen yang dapat merawat pelbagai penyakit berkaitan mental seperti skizofrenia, kemurungan dan bipolar.
“Kalau kita nak membuat penyelidikan CBD ini bermula dari awal, ia mengambil masa lima ke 10 tahun sebenarnya.
“Kita lihat negara jiran kita, Thailand sudah mula menjalankan penyelidikan CBD dan THC ini lebih daripada dua tahun, jadi kita agak terkebelakang.
“Jadi saya mohon pihak kerajaan, mungkin memerlukan pendekatan ‘top-down’ iaitu Menteri Kesihatan sendiri memberi kemudahan kepada penyelidik, mungkin kita tidak perlu lagi fokus kepada kajian keselamatan atau kajian praklinikal secara menyeluruh memandangkan banyak ubat-ubat CBD sudah diguna pakai di negara-negara luar,” katanya.
Sebagai seorang ahli psikiatri juga, beliau juga mengambil berat tentang kesan sampingan penggunaannya oleh para pesakit yang mendapat ubat atau suplemen tersebut daripada pasaran gelap, dikhuatiri akan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang sekeliling.
Maka tegasnya, sudah sampai masa kerajaan membenarkan juga penggunaan CBD secara khusus supaya ia boleh dikawal selia dengan sebaiknya.
“Kami sebagai penyelidik merasa sangat tertekan dan susah untuk menjalankan penyelidikan bahan-bahan ganja ini untuk tujuan perubatan.
“Maka sepatutnya ia sudah dikeluarkan dari akta tersebut kerana banyak negara tidak mengklasifikasikan CBD sebagai dadah berbahaya,” tambahnya lagi.