Umum

PDRM digesa siasat pemandu kereta diiringi polis trafik

Polis digesa supaya menjalankan siasatan terhadap pemandu kereta yang diiringi dua anggota polis trafik di Jalan Bukit Gambir, di sini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, siasatan sepenuhnya perlu dijalankan segera, bukan sahaja terhadap dua anggota polis tersebut malah ke atas pemandu kereta itu juga.

“Tenaga polis trafik adalah mengawal trafik dan bukannya berperanan membuka jalan untuk anak ahli Parlimen.

“Sehubungan itu, saya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas dua anggota polis tersebut termasuk pemandu kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, barisan menteri sepatutnya melalui pengalaman kesesakan trafik seperti orang awam lain dan tiada hak keistimewaan dengan mendapat iringan polis kecuali dalam keadaan terdesak atas urusan rasmi yang penting.

“Wakil rakyat seperti ahli Parlimen sudah berkhidmat berpenggal-penggal, tiada keistimewaan iringan polis tetapi bagaimana anak kepada ahli Parlimen boleh mendapat keistimewaan itu?

“Saya meminta Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan semula dan mendisiplinkan anggota polis trafik supaya keistimewaan tersebut tidak disalah guna,” katanya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial pada jam 8.36 malam, yang dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez menunjukkan dua anggota polis trafik sedang mengiringi kenderaan awam.

Menerusi klip video berkenaan, kedua-dua anggota polis tersebut sedang mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik tersebut.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top