Perkenalan seorang murid berusia 12 tahun dengan seorang mekanik menerusi aplikasi mencari jodoh membawa padah selepas mendakwa menjadi mangsa rogol lelaki berkenaan.
Insiden itu dipercayai berlaku di kawasan sebuah bengkel di Kemaman sekitar pukul 9 malam pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, sebelum itu, mangsa menemani ibunya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk melawat ahli keluarga mereka.
Suffian berkata, bagaimanapun, mangsa hanya menunggu di lobi hospital sebelum dia meminta rakan lelakinya itu membawanya ke Kemaman.
“Sejurus tiba di Kemaman, mangsa dijemput suspek yang baru dikenalinya itu di sebuah stesen minyak sebelum suspek membawanya bersiar-siar di kawasan sekitar.
“Namun ketika berada di dalam kereta, mangsa mengatakan suspek memberinya minuman yang menyebabkan dia mengantuk sebelum membawanya ke kawasan bengkel,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Suffian, kesan pengambilan minuman itu menyebabkan mangsa tertidur, namun, terjaga selepas suspek bertindak menanggalkan seluar dan merogolnya.
Kata Suffian, ekoran itu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kemaman pada pukul 5 pagi Jumaat.
Beliau berkata, menerusi laporan dibuat mangsa, suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditahan di sekitar Kemaman sekitar pukul 2 petang Jumaat.