Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori, yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), kata Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Mohd Shahzihan menerusi kenyataan hari ini berkata penetapan itu dibuat, susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu, disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.
“Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.
“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau berkata baginda turut menitahkan semua perkara yang diputuskan dibuat dengan adil dan saksama, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor khususnya.
“Sehubungan dengan itu, baginda telah menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut, bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.
“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor,” katanya.
Sementara itu persatuan almuni bekas pelajar Malaysia ke Jepun di bawah program Dasar Pandang ke Timur (ALEPS) menyatakan pesta Bon Odori merupakan aktiviti mempromosikan budaya Jepun ke Malaysia dan tidak mempunyai sebarang unsur keagamaan Buddha Jepun.
Presidennya Zulfiqat Zainuddin berkata ALEPS membantu penganjur utama iaitu Japan Club Kuala Lumpur (JCKL) bagi mempromosikan acara tersebut kepada orang ramai di negara ini.
“Daripada pandangan dan penjelasan dari Kedutaan Jepun serta penganjur utama itu, kami menggunakan pesta Bon Odori sebagai platform serta pengenalan budaya Jepun ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Zulfiqat juga berkata ALEPS telah mendapat penjelasan mengenai pesta tersebut daripada JCKL dan Kedutaan Jepun.
“Malaysia sudah mengadakan Pesta Bon Odori lebih 40 tahun. Mungkin penerangan yang lebih jelas perlu diadakan untuk memahami mengapa isu ini dibangkitkan,” katanya.
— BERNAMA