Umum

Tajuddin dakwa Tok Mat belot untuk ganti Zahid

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan terdapat satu perjumpaan antara pemimpin parti itu untuk menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perjumpaan tertutup yang diadakan di rumahnya itu diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pada Mei 2020, Mohamad nak buat memorandum untuk meminta Ahmad Zahid turun dengan baik demi kepentingan UMNO.

“Kita mahu minta beliau turun dengan cara baik. Bukan dengan cara tendang-tendang. Tak baiklah macam tu,” katanya dalam sidang akbar di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu meminta untuk membuat tinjauan ketua bahagian yang setuju untuk menyertai memorandum tersebut.

“130 orang ketua bahagian setuju antaranya Perak 18 orang yang setuju dan negeri-negeri lain.

“Satu tahun Ahmad Zahid pegang jawatan tersebut telah mula tunjukkan kelemahan dan kita tak sanggup untuk teruskan,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, gerakan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Mohamad yang lebih mesra disapa Tok Mat belot dan membuat pusingan U selepas digertak oleh orang-orang Ahmad Zahid.

Artikel asal di Sinar Harian.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top