Umum

Muat naik hantaran jelik, teman lelaki wanita hina Islam mengaku tidak bersalah

Teman lelaki kepada pelawak wanita yang didakwa menghina Islam dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini, hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati di media sosial.

Tertuduh, V Alexander Navin, 38, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus, pada Rabu.

Menerusi pertuduhan pertama, dia didakwa memuat naik hantaran yang menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ di pautan Instagram dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Perdana View Condominium, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini.

Untuk pertuduhan kedua, dia dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi YouTube pada 16 Jun lalu di tempat yang sama dan melakukan kesalahan mengikut seksyen yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, teman wanitanya, Siti Nuramira Abdullah turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina Islam ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur pada Rabu.

Wanita itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali dan minta dibicarakan.

Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegusaran dan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama, di antara orang-orang yang menganut agama yang sama ketika mengadakah persembahan komedi berdiri (stand up comedy) di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top