Umum

Ukraine mula atur konvoi kapal untuk sambung semula eksport bijirin

Ukraine pada Ahad memulakan usaha untuk mengeksport bijirin ke luar negara dengan mengatur konvoi kapal di pelabuhan Odesa, Chornomorsk, dan Yuzhne, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut Lembaga Pelabuhan Laut negara itu.

Persiapan sedang dilakukan agar tiga pelabuhan itu kembali beroperasi seperti dalam perjanjian yang ditandatangani pada Jumaat di Istanbul bagi menyambung semula eksport bijirin dan produk makanan Ukraine, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Setiap kapal yang berhasrat menyertai konvoi terbabit perlu mengemukakan permohonan, dan ketibaan dan pelepasan mereka di pelabuhan akan dibantu kapal pengiring.

Ukraine adalah pengeksport gandum kelima terbesar dunia, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai PBB pada Jun memberi amaran tentang krisis makanan dunia akibat operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine sejak 24 Feb, sambil berkata ia menimbulkan ancaman kebuluran, ketidakstabilan dan penghijrahan besar-besaran di seluruh dunia ketika Moscow bertindak menyekat pelabuhan Laut Hitam itu.

Ukraine dan Rusia pada Jumaat memeterai perjanjian menyambung semula bekalan bijirin Ukraine menerusi pelabuhan Laut Hitam, manakala Turkiye dan PBB bertindak sebagai perantara.

Di bawah perjanjian itu, pusat penyelarasan telah ditubuhkan untuk melakukan pemeriksaan bersama di pintu masuk dan keluar pelabuhan serta memastikan keselamatan di laluan kapal-kapal.

Dipuji di peringkat antarabangsa kerana memainkan peranan sebagai perantara, Turkiye berkoordinasi dengan Moscow dan Kyiv untuk membuka koridor di bandar pelabuhan Odesa bagi menyambung semula bekalan bijirin global yang telah lama terhenti akibat krisis itu.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top