PAS menyalahkan kesilapan pihak yang membubarkan Parlimen ke-14 lebih awal bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada musim tengkujuh, menyebabkan tiga negeri di bawah pentadbirannya enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui pilihan raya berasingan – Parlimen dan DUN – akan menyebabkan kos akan meningkat.
“Soal kos dan sebagainya, kita akui. Tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku.
“Kemudian sekolah akan menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika banjir, kita bimbang takut-takut kemarahan rakyat sekarang ini sangat ketara,” katanya dalam temu bual bersama lidah rami PAS, Harakah.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata soal mengadakan pilihan raya sepatutnya dilakukan pada waktu yang tenang dan negeri pentadbiran PAS akan menyertainya.
“Bagi kita, soal pembubaran DUN kita hendak biar tenang, habis musim banjir, kita hadapi pilihan raya dengan keadaan tenang dan negeri-negeri kita pun setuju dengan keputusan itu. Kenapa kita tidak bubar? Sebab kita tak mahu diheret sama dengan kemarahan rakyat sekarang.
“Kita yakin, kita ada lebih lapan bulan lagi masa (sehingga Mei 2023), dalam tempoh lapan bulan banyak benda kita boleh buat, dan kita tak perlu tergesa-gesa,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim berkata isu sekarang ini ialah rakyat marah dengan pembubaran Parlimen dan PAS tak mahu terheret sama dengan kemarahan rakyat jika DUN juga dibubarkan.
“Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan kita tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir.
“Justeru, jika kita bubarkan juga, nanti bercanggah dengan apa yang kita pernah sebut. Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini,” katanya.
Pada 10 Oktober lalu Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen ke-14, tanpa mempedulikan rayuan rakyat dan pemimpin lain supaya tidak mengadakan pilihan raya pada musim kemarau.
Pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran dan UMNO telah mencadangkan awal November sebelum ribut hujan Monsun Timur Laut melanda.
Bagaimanapun, sejak awal bulan ini, kebanyakan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah mengalami hujan lebat dan sesetengah kawasan telah mula banjir.
Untuk rekod, berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada November dan berakhir pada Mac.
Mengenai kerjasama dengan UMNO, beliau menegaskan bahawa PAS telah membuat keputusan muktamad untuk kekal di dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, Gerakan, SAPP dan STAR, bagi menghadapiPRU-15 akan datang, berdepan UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Malah, PAS melihat bukan salah mereka apabila UMNO enggan bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata UMNO telah beberapa kali menyatakan akan bergerak sendirian menghadapi pilihan raya itu.
“Oleh kerana mereka (UMNO) tidak hendak bersama (Perikatan Nasional) dan mereka (UMNO) sudah buat keputusan untuk bergerak solo, jadi sebab UMNO sudah buat keputusan untuk solo banyak kali sudah, mereka hendak solo… jadi takkan kita hendak bersama dia (UMNO)?,” katanya.
Menurutnya oleh kerana PAS berdaftar sebagai PN, maka parti itu kekal dalam gabungan yang dibentuk bersama Bersatu.
“Jadi kita akan bersama dengan Perikatan Nasional. Malah, kita sudah menggerakkan kekuatan jentera Perikatan Nasional peringkat negeri-negeri, dan kita harus teruskan,” katanya.
Sumber: Agenda Daily