Umum

Pengeluaran bersasar KWSP dikaji jika PN menang: Muhyiddin

Perikatan Nasional (PN) bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika dipilih oleh pengundi menjadi Kerajaan Persekutuan pada hari pengundian 19 November ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun pengeluaran KWSP tidak dimasukkan ke dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Perikatan Nasional, tetapi ia akan dikaji.

“Antara perkara yang berbangkit ialah minta supaya abah ni benarkan lagi sekali pengeluaran KWSP.

“Tak ada dalam manifesto… tapi dulu pun kita buat pun tak ada dalam manifesto insya-Allah bila mana kita menang antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah tentang KWSP bersasar.

“Kalau kita lihat yang dahulu, kita dah benarkan berapa kali… I-Sinar, I-Lestari… walaupun awalnya agak sukar tapi lepas itu dipersetujukan,” katanya menjawab soalan peserta pada dialog selepas melancarkan Tawaran PN BEST bertemakan “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” yang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran, di Shah Alam, malam ini (6 November 2022).

Sementara tu, beliau berkata PN akan menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion.

Beliau berkata, kerajaan PN akan menggalakkan perkembangan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

“Bagi merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, kita akan membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Antaranya meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

“Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top