Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa pemain bola tampar yang ditampar jurulatih dalam satu insiden semasa kejohanan sukan itu baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, isu yang tular menerusi media sosial itu dipandang serius dan siasatan akan diteruskan serta kerjasama turut diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika terdapat aduan dibuat.
“KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden terbabit.
“Pada masa yang sama, KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, hangat diperkatakan di media sosial berhubung satu video yang memaparkan tindakan seorang jurulatih pasukan bola tampar Melaka menampar pemainnya.
Jurulatih itu dipercayai berbuat demikian kerana pemain terbabit menyebabkan pasukan berkenaan kehilangan dua mata sebelum tempoh rehat permainan.
Kejadian dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.
Pada masa yang sama, KPM menambah, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan.
Sumber: Sinar Harian