Hampir 90 peratus penduduk di wilayah ketiga paling padat di China kini dijangkiti COVID-19 ketika negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes luar biasa.
Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Henan, Kan Quancheng pada Isnin memaklumkan data sehingga 6 Januari menunjukkan kadar jangkitan kini mencecah 89 peratus.
Berdasarkan jumlah itu menunjukkan kira-kira 88.5 juta daripada 99.4 juta penduduk di Henan adalah positif COVID-19.
“Lawatan ke klinik demam mencapai kemuncak pada 19 Disember lalu sebelum ia menunjukkan trend penurunan,” ujar Quancheng lagi.
Walaupun berdepan gelombang jangkitan yang membimbangkan, Beijing tetap meneruskan langkah pembukaan semula sempadan dengan Hong Kong dan turut menarik balik peraturan kuarantin wajib ke atas kesemua ketibaan antarabangsa.
Di bawah gelombang pertama perjalanan sebelum cuti perayaan bermula sempena sambutan Tahun Baharu Cina, data rasmi menunjukkan kira-kira 34.7 juta individu melakukan perjalanan domestik pada Sabtu lalu yang menunjukkan peningkatan lebih satu pertiga berbanding tahun lalu.
Data pemerintah yang diterbitkan pada minggu lalu mendapati hanya 120,000 penduduk didiagnos positif dan 30 kematian akibat COVID-19 direkodkan meskipun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi setelah Beijing melonggarkan sekatan pada awal Disember.
Pada minggu lalu, 70 peratus daripada 25 juta penduduk di Shanghai turut dilaporkan dijangkiti COVID-19. –Sinar Harian/Agensi