Umum

Polis panggil ahli keluarga ‘baju merah’ hubungi Caprice

Polis mengesahkan telah memanggil salah seorang ahli keluarga yang terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah inap desa di Batu Pahat susulan tindakannya menghubungi seorang influencer (pempengaruh), Caprice berhubung insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tindakan memanggil seorang ahli keluarga berkenaan adalah bagi merekodkan percakapannya dengan influencer itu.

“Kita sudah panggil ahli keluarga tersebut apabila perkara ini keluar di media. Kita rakam percakapan dan tanyakan perkara sebenar.

“Berdasarkan rakaman percakapan, didapati percakapan dia (ahli keluarga) konsisten seperti apa yang dia cakap dengan Caprice,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Khamis.

Rabu lalu, salah seorang ahli keluarga ‘baju merah’ telah menghubungi Caprice menceritakan situasi di pihaknya.

Dakwanya lagi, mereka sekeluarga telah menempah inap desa berkenaan untuk aktiviti keluarga selama tiga hari dua malam.

Pada hari kedua mereka mengadakan aktiviti sukaneka menjadikan suasana ketika itu bising kerana masing-masing sedang berseronok dengan aktiviti bersama keluarga.

Bagaimanapun, mereka tiba-tiba ditegur oleh seorang pengunjung wanita kerana dikatakan terlalu bising hingga mengganggunya.

Sementara itu, Ismail berkata, siasatan kes berkenaan hampir selesai dan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri.

“Kita percaya, kes tersebut berpunca daripada perselisihan faham. Satu pihak sudah sewa inap desa untuk hari keluarga, tetapi dalam masa sama masih ada pengunjung yang datang ke kolam mandi bersama anak-anaknya.

“Namun, pengunjung wanita berkenaan telah menegur bahawa terlalu bising hingga mengganggunya dan ketika itulah mungkin wanita itu keluar dan ‘call’ suaminya seterusnya berlakulah seperti apa yang tuan-tuan tengok (video tular) itu,” katanya. –Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top