Umum

Gerakan mohon maaf pada penjawat awam, parti rakan dalam PN

Parti Gerakan hari ini meminta maaf secara terbuka ekoran kenyataan dibuat salah seorang ahli parti terbabit mengenai keberadaan kakitangan awam di negara ini.

Selain ditujukan kepada orang ramai, Gerakan turut mengemukakan permohonan maaf tersebut kepada “rakan seperjuangan” parti itu – PAS serta Bersatu.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong, berkata parti komponen PN – yang disertai Gerakan – turut terkena tempias negatif ekoran kenyataan dibuat baru-baru ini.

“Disebabkan dia ahli gerakan, atas semangat satu hati; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; saya pada hari ini memohon maaf atas kenyataan yang diberikan oleh alih gerakan akar umbi tersebut.

“Dengan itu saya pohon, saya menyusul sepuluh jari untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penjawat awam.

“Saya minta maaf,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa hari lalu tular kenyataan dibuat seorang ahli Gerakan yang memperkenalkan dirinya sebagai jurucakap parti itu bagi kawasan DUN Sungai Pinang, Mok Kok On.

Kata Mok penjawat awam di Malaysia ini merupakan “beban kepada negara”.

Sudah beri amaran

Katanya disebabkan keadaan ekonomi yang bermasalah ekoran kejatuhan nilai mata wang serta hutang yang banyak, kerajaan wajar melihat isu keberadaan penjawat awam dengan teliti.

Memetik kenyataan Mok – yang sudah dipadamnya di media sosial – portal harapandaily.com mendakwa jurucakap Gerakan itu menjelaskan kebanyakan wang negara digunakan untuk membayar gaji dan pencen penjawat awam.

Pada masa sama, Mok berkata, pengundi perlu memberi sokongan mereka kepada PN dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi sebagai langkah membawa perubahan kepada negara.

Mak berkata kakitangan awam memang berkait rapat dengan kehidupan rakyat di negara ini dan mereka memberikan perkhidmatan yang baik untuk Malaysia.

Justeru, katanya, Gerakan memang tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Mok baru-baru ini.

Dan saya juga mengambil kesempatan ini meminta maaf kepada rakan-rakan seperjuangan kita iaitu PN, PAS dan Bersatu.

“Mereka turut menerima tempias daripada kenyataan tersebut,” katanya.

Ditanya lebih lanjut, Mak berkata kes Mok itu dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan untuk diteliti sebelum langkah selanjutnya diambil.

Katanya Gerakan memang memandang serius tindakan Mok, namun pada masa sama menganggap ia tidak wajar diperbesarkan lagi.

Menurut Mak, bagi mengelak kejadian sama berulang, jawatankuasa disiplin parti itu akan membuat keputusan tidak lama lagi.

“Parti sudah memberi amaran, dan kalau isu ini memang tak ada penjelasan yang bagus, atau penjelasan yang munasabah, parti akan gantung (keahlian Mok),” katanya.

Sumber: Malaysiakini

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top