Umum

‘Kereta polis depan rumah’, kata Fahmi kepada pengkritik sewaktu sesi TikTok

Sesi live di TikTok yang dihoskan oleh Fahmi Fadzil dari PKR malam tadi berakhir dengan menteri komunikasi dan digital itu mengancam penontonnya dengan tindakan pihak polis kerana membuat naik komen mengkritiknya dan kerajaan campuran.

Fahmi, yang mengadakan sesi secara langsung selama lebih dua jam di platform media sosial itu dilihat menerima komen negatif termasuk mempersendakannya serta mempersoalkan banyak dasar kerajaan.

“Semua anda yang masuk dalam live saya dan mengeluarkan kenyataan ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

“Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio car yang singgah di rumah anda. We are monitoring, behave yourself (Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda),”kata Fahmi, mengugut penonton dengan tindakan yang terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Komen yang membanjiri sesi secara langsung ahli politik menjadi kebiasaan sebagai sebahagian daripada trend kempen secara dalam talian.

Kemarahan Fahmi terhadap pengkritiknya bukanlah kali pertama ahli parlimen PKR itu mengancam untuk menutup mulut pengkritiknya.

Pada Mac, beliau mendapat kecaman selepas mengamuk di media sosial berhubung laporan akhbar Berita Harian mengenai kemungkinan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), dan mengumumkan beliau akan bertemu pengurusan akhbar tersebut.

Fahmi menerima kritikan umum sejak memegang portfolio menterinya, beliau mempersoalkan segala-galanya daripada dapatan tinjauan 100 hari pertama kerajaan hinggalah menuduh platform media sosial sengaja mempromosikan kandungan pembangkang.

“Saya akan berjumpa dengan akhbar berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

“Adakah mereka cuba melakukan promosi atau menipu rakyat?” katanya pada 1 Mac, memberi reaksi kepada tinjauan bersama lima media tempatan yang mendapati hanya 27% responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top