Satu lagi laman sesawang yang lantang mengkritik kerajaan disekat, sebulan selepas akses ke atas portal berita MalaysiaNow dan blog Malaysia Today dihalang untuk sebahagian besar pembaca.
Laman sesawang terbaru disekat itu, http://weechookeong.com/, adalah blog yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap hubungan antara perniagaan utama dan ahli politik serta pendedahan tentang rasuah dalam sektor kewangan Malaysia.
Sekatan itu, yang disedari Wee malam tadi, disahkan hari ini melalui mesej daripada hos pelayan yang mengatakan laman sesawang itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Berdasarkan lampiran, hasil ping ke weechookeong.com menunjukkan alamat IP 175.139.142.25,” katanya.
“Ini bermakna laman sesawang itu telah disekat oleh SKMM.”
Ia menambah bahawa pengguna beberapa penyedia perkhidmatan Internet (ISP) masih boleh mengaksesnya kerana SKMM melaksanakan sekatan secara berperingkat.
Sehingga berita ini ditulis, laman sesawang itu tidak dapat diakses oleh pengguna sekurang-kurangnya dua ISP utama: Maxis dan Unifi.
Sementara itu, Wee yang juga bekas ahli Parlimen DAP dan PKR dalam ciapan di Twitter menulis: “Big Brother Fahmi sedang memerhatikan kita.”
“Kita sekarang hidup dalam era Mad Dah Ni!!” tambahnya, sambil menyindir slogan kerajaan Madani.
SKMM, pengawal selia internet negara, diberi kuasa untuk mengarahkan ISP untuk menyekat laman sesawang yang “tidak diingini”.
Dulu, sekatan sedemikian telah diperluaskan ke portal berita dan laman sesawang yang mengkritik kerajaan.
MalaysiaNow disekat selama 48 jam dari 27 hingga 29 Jun lalu.
Pembantu kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang menerajui kementerian yang menyelia SKMM, menafikan sebarang maklumat atau bertanggungjawab terhadap kejadian itu, manakala Fahmi sendiri dilaporkan berkata tiada arahan diberikan untuk menyekat mana-mana portal berita.
Mesej lanjut yang meminta penjelasan daripada beliau tidak dijawab, manakala SKMM juga gagal menjawab pertanyaan berulang kali daripada MalaysiaNow.
Episod pada Jun adalah kali pertama dalam tempoh beberapa tahun di mana portal berita yang mempunyai akreditasi media disekat, selepas sekatan ke atas portal berita The Malaysian Insider pada 2016, yang dipercayai atas liputannya mengenai skandal 1MDB.
Menurut hos pelayan http://weechookeong.com/, SKMM biasanya menyekat laman sesawang kerana kandungan yang dilarang, sambil menambah bahawa isu tersebut berada di luar kawalannya.
“Oleh itu, saya amat mengesyorkan agar anda menghubungi SKMM secara terus untuk mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan mengenai penyekatan itu,” katanya.
Sumber: Malaysianow