Premier Sarawak Abang Johari Openg dilantik Yang Dipertua baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), menggantikan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang memegang jawatan itu sejak 2006.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pelantikan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perkim ke-64, di Kuala Lumpur pada Sabtu turut menyaksikan Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat khas PERKIM.
Dalam ucapan, Abang Johari merakamkan penghargaan di atas amanah diberikan dan berikrar akan memikul tanggungjawab itu sebaik mungkin.
Beliau juga merakamkan penghargaan ke atas kepimpinan Mahathir yang membawa Perkim ke tahap membanggakan dan menjadi contoh dalam perjuangan dakwah dan kebajikan.
“Meneruskan legasi ditinggalkan bukanlah satu tugas mudah, tetapi dengan sokongan padu semua peringkat, saya yakin kita dapat memperkasakan lagi peranan Perkim dalam landskap dakwah moden,” katanya menurut laporan itu.
Mengulas cabaran didepani, Abang Johari menegaskan keperluan Perkim terus lantang dan aktif memperjuangkan perjuangan umat Islam, khususnya dalam isu global seperti konflik di Gaza.
“Pada hemat saya, PERKIM harus kekal vokal dan aktif dalam menyatakan pendirian serta membela nasib saudara seagama melalui pendekatan berkesan dan berhemah,” katanya.
Dalam konteks tempatan, beliau menekankan kepentingan pendekatan lebih inklusif dan berterusan dengan masyarakat berasaskan kasih sayang, pendidikan, dan kesedaran.
Turut hadir dalan mesyuarat tersebut, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, Naib Yang Dipertua PERKIM, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan ahli-ahli majlis tertinggi PERKIM.
