Di tengah-tengah peningkatan kes jenayah kewangan dan penipuan dalam talian, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dengan kerjasama Compliance Officers’ Networking Group (CONG) telah menghimpunkan lebih 50 pakar antarabangsa serta 1,200 profesional industri di 15th International Conference on Financial Crime and Counter Terrorism Financing (IFCTF) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur.
Persidangan yang mendapat sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Labuan FSA ini memberi tumpuan kepada pematuhan berasaskan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan analitik data lanjutan dalam memerangi jenayah kewangan merentas sempadan.
AI dan Etika: Dua Asas Kepercayaan Industri
Malaysia merekodkan kerugian RM1.92 bilion akibat penipuan dalam talian menjelang September 2025 — angka yang mencerminkan keperluan mendesak bagi memperkukuh ketahanan industri kewangan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, dalam ucapan pembukaan menegaskan bahawa walaupun teknologi dan AI memperkukuh sistem pematuhan, nilai integriti dan pertimbangan manusia tetap menjadi teras kepercayaan.
“Tiada algoritma yang boleh menggantikan pertimbangan, integriti dan akauntabiliti yang diharapkan daripada industri kewangan,” katanya.
Pengerusi AICB, YBhg. Tan Sri Azman Hashim, pula menyatakan bahawa keseimbangan antara inovasi dan integriti mencerminkan pendekatan Malaysia terhadap pembangunan sektor kewangan.
“Walau secanggih mana sistem, ia tetap tidak dapat menggantikan asas nilai yang kukuh dan kepekaan manusia,” ujarnya.
Kerjasama Rentas Sempadan
Pengerusi CONG, Faradina Ghouse, yang juga Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan AmBank, menekankan bahawa pematuhan bukan sekadar soal peraturan, tetapi juga soal ketahanan dan integriti seluruh ekosistem kewangan.
“Keupayaan kita mengesan, mencegah dan bertindak balas bergantung pada sejauh mana kita berkongsi maklumat serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Teknologi, Pembelajaran Mesin & Aset Maya
Bertemakan “The Future is Now: Tech-driven Compliance in the Fight Against Financial Crime”, IFCTF 2025 membincangkan topik seperti pengesanan penipuan berasaskan AI, pembiayaan keganasan, pengurusan aset maya dan rangka kerja antirasuah, selaras dengan penguatkuasaan global yang semakin ketat.
Kerajaan melalui Belanjawan 2026 turut memperuntukkan RM32 juta bagi memperkukuh undang-undang dan membanteras jenayah penipuan, termasuk pelaksanaan Rang Undang-undang Jenayah Siber serta pengukuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Kini memasuki tahun ke-15, IFCTF kekal sebagai platform utama ASEAN bagi memacu perbincangan profesional tentang pencegahan jenayah kewangan, literasi digital dan kepimpinan beretika dalam industri perbankan.
Maklumat lanjut mengenai program AICB boleh didapati di www.aicb.org.my/events/upcoming.
