Umum

AIPSA 2023, 6 Pegawai Bomba “Alor Setar Troopers” terima Anugerah Utama, RM 1 juta untuk produk AFIS

Gambar Facebook

Pasukan Alor Setar Troopers yang terdiri daripada 6 pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar mencipta sejarah baharu apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Utama, Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023, yang melayakkan mereka membawa pulang wang RM1 juta, pada minggu lalu.

Pasukan yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah itu turut dianggotai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Azizan Jusoh, PBK II Haidar Fathil, PBK II Haryady Mohd Ashikin, PBK II Mohd Daud Awang dan Pegawai Bomba Mohd Khairul Khuzaini Maula Abu Othman.

Menurut Ahmad Naufal, produk inovasi dikenali sebagai Sistem Pemintas Frekuensi Audio (AFIS) itu berfungsi dengan memintas frekuensi radio kenderaan yang berada di hadapan bagi memaklumkan kehadiran jentera kecemasan seperti bomba, ambulans atau kereta peronda polis lebih awal.

Katanya, ia tercipta hasil pengalaman mereka sendiri yang ada kalanya terperangkap dalam keadaan jalan yang sesak ketika menuju lokasi kemalangan.

“Ada kalanya bunyi siren atau lampu beacon tidak sampai kepada kenderaan yang berada jauh di depan menyebabkan pemandu berkaitan tidak menyedari kehadiran jentera di belakang yang bergegas ke lokasi kemalangan atau kebakaran.

“Melalui AFIS, pihak bomba contohnya, boleh memintas frekuensi radio kenderaan dalam jarak tertentu untuk memaklumkan mengenai kehadiran jentera di belakang supaya pengguna jalan raya dapat ‘membuka’ laluan lebih pantas.

“Ini bermakna, semua pengguna kenderaan yang sedang mendengar radio ketika itu, akan menerima makluman mengenai kehadiran jentera bomba, ambulans atau kereta peronda polis di belakang supaya mereka lebih berhati-hati dan bersedia memberi laluan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di BBP Alor Setar, hari ini.

Ahmad Naufal yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja berkata, AFIS tidak memerlukan belanja besar untuk dihasilkan dengan jarak pintasan frekuensi boleh dilaras mengikut kesesuaian, iaitu sekitar hanya RM822.

“AFIS boleh memintas frekuensi radio pada jarak yang cukup jauh tetapi untuk kegunaan jentera bomba dan agensi kerajaan lain, jarak 200 meter adalah memadai.

“Peralatan ini cukup berguna untuk digunakan di bandar-bandar besar yang sesak. Penggunaan AFIS juga diyakini mampu membantu dalam mengurangkan tempoh bertindak terhadap kes kecemasan seperti disasarkan sebelum ini iaitu daripada 10 kepada lapan minit,” jelasnya.

“Produk ini sudah didaftarkan di Harta Intelek Malaysia (MyIPO) malah turut mendapat surat penghargaan daripada Taman Teknologi Malaysia (TPM). Maklum balas diterima daripada agensi kerajaan lain yang menguji peralatan ini turut positif.

“Kami juga pernah membawa peralatan ini kepada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan mereka juga amat berminat dengan AFIS.

“Tidak mustahil peralatan ini boleh dikomersialkan dan diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Penyampaian anugerah AIPSA 2023 telah berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya PICC pada 7 November lalu yang menyaksikan sebanyak 313 projek dinilai oleh juri terdiri daripada golongan profesional yang menganggotai Jawatankuasa Pemilihan AIPSA.

 

 

Sumber Metro

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top