AirAsia X Berhad (AAX) mencatatkan satu pencapaian penting dalam strategi pengembangan globalnya dengan pelancaran dua laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke London Gatwick (KUL-BAH-LGW).
Pengumuman itu dibuat semasa satu sidang media di Bahrain hari ini, sekali gus menetapkan Bahrain sebagai hab global strategik pertama AirAsia X ke Eropah.
Laluan Bahrain–London merupakan laluan Fifth Freedom kedua AirAsia X, menandakan pengembangan syarikat penerbangan itu melangkaui pasaran Asia bagi memenuhi permintaan sektor perjalanan jarak jauh kos rendah global.
Perkhidmatan KUL-BAH-LGW dijadualkan bermula pada 26 Jun 2026 dan memanfaatkan kedudukan strategik Bahrain sebagai pintu masuk utama antara Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes berkata pelancaran laluan ini merupakan langkah penentu dalam fasa pertumbuhan seterusnya AirAsia X.
“Bahrain sebagai hab penerbangan strategik membolehkan kami menghubungkan Asia dengan Timur Tengah dan Eropah dengan lebih berkesan, sambil mewujudkan platform berskala untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.
Beliau turut berkata kerjasama ini akan mengukuhkan ekosistem penerbangan secara menyeluruh, termasuk perniagaan Capital A seperti kargo dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Menurut Tony, ketibaan penerbangan pertama Teleport ke Bahrain turut menandakan pencapaian penting susulan pengumpulan modal berjumlah USD50 juta baru-baru ini, yang dijangka memperkukuh kedudukan Bahrain sebagai hab penerbangan dan logistik serantau.
Sementara itu, Menteri Kewangan dan Ekonomi Negara Bahrain, Sheikh Salman bin Khalifa Al Khalifa berkata perjanjian dengan AirAsia X mencerminkan kekuatan Bahrain sebagai rakan ekonomi dan pusat keterhubungan serantau serta global.
Beliau berkata pelaburan itu akan mengukuhkan kedudukan Bahrain sebagai pintu masuk utama yang menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, selain mewujudkan peluang pekerjaan serta manfaat ekonomi merangkumi sektor pelancongan, logistik dan hospitaliti.
Dengan pelancaran laluan baharu ini, AirAsia X terus memperluaskan rangkaiannya yang merangkumi lebih 150 destinasi di seluruh dunia, sambil mengukuhkan aspirasi untuk menjadi syarikat penerbangan global sebenar.
Beroperasi menggunakan pesawat A330, perkhidmatan KUL-BAH-LGW turut membuka akses lebih luas kepada penumpang dari Australia, Indonesia, Vietnam dan pasaran utama lain, menawarkan perjalanan yang lebih mampu milik dan mudah ke Bahrain serta London.
