Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh keadilan kredit pengguna serta memodenkan perjanjian sewa beli akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas ia diwartakan pada 30 Januari lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia perkhidmatan sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses mengikut keperluan baharu.
“Penyedia yang telah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026,” katanya pada sidang media sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Armizan, antara pindaan utama ialah pemansuhan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Rule of 78 dalam pengiraan bayaran pinjaman.
Katanya, kaedah tersebut sebelum ini menyebabkan sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya.
Beliau berkata pindaan itu turut menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli, termasuk penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik.
Menurutnya, pindaan Akta Sewa Beli ini merupakan sebahagian daripada fokus agenda gerakan kepenggunaan bagi tahun 2026, khususnya dalam usaha memperkukuh reformasi undang-undang berkaitan hak dan kepentingan pengguna.
Armizan berkata antara langkah yang telah dilaksanakan sebelum ini ialah penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873), yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan Dewan Negara pada 4 September 2025.
“Akta 873 yang berada di bawah kawal selia Kementerian Kewangan telah mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2026,” katanya.
Beliau menegaskan reformasi undang-undang itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, di samping meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak pengguna di seluruh negara.
