Umum

Alphard dicuri di pekarangan rumah, Polis buru suspek

Gambar Facebook

Polis sedang memburu suspek berkaitan kes curi sebuah kenderaan pelbagai guna mewah (MPV) dari dalam pekarangan sebuah rumah di Jelapang, Ipoh, semalam.

Menurut Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam itu pada 4.19 pagi.

Katanya, pengadu berusia 43 tahun itu melaporkan MPV yang diletakkan dalam kawasan rumahnya itu dibawa lari oleh seorang lelaki.

Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, iaitu (berkaitan kesalahan) mencuri kereta, katanya, dilaporkan Bernama.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi yang mempunyai maklumat agar hadir ke balai polis berdekatan untuk memberikan keterangan.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 15 saat yang memaparkan detik cemas sebuah Toyota Alphard dipandu keluar secara mengundur dari pekarangan rumah mangsa oleh individu tidak dikenali.

Mangsa bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang diancam bahaya.

Pencuri kereta tersebut dipercayai menggunakan alat khas kawalan jauh bagi membuka pintu kenderaan sebelum melarikannya dalam tempoh kira-kira lima minit.

 

PALING POPULAR

To Top