Umum

Amiruddin Abdul Satar tamat perkhidmatan sebagai pengarah besar Felda

Amiruddin Abdul Satar tamat perkhidmatan sebagai pengarah besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 14 Oktober 2024 selepas 4 tahun menerajui agensi itu.

Felda dalam suatu kenyataan, memaklumkan sepanjang tempoh itu, Amiruddin telah memimpin agensi berkenaan mengharungi pelbagai cabaran dengan penuh dedikasi dan visi yang jelas terutama ketika pascapandemik Covid-19.

Selain itu, beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan termasuk pelaksanaan Kertas Putih: Ke Arah Kelestarian Felda yang merangka sebuah model Felda Baharu.

“Model ini bukan sahaja memperkukuh asas organisasi malah turut memberikan manfaat langsung kepada warga peneroka serta meningkatkan kesejahteraan komuniti Felda.

Sepanjang menerajui Felda sejak 15 Okt 2020, beliau berjaya memulihkan kewangan melalui langkah pembaharuan dan pengurusan cekap, menurut kenyataan itu.

Pendekatan tegas Amiruddin dalam kawalan kos dan peningkatan hasil operasi meletakkan Felda kembali di landasan stabil, selain turut menekankan ekosistem holistik, kecekapan operasi, dan pengurusan sumber bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan serta berdaya tahan.

“Asas yang dibina ini akan menjadi panduan untuk kejayaan Felda pada masa hadapan.

Seluruh pengurusan dan warga Felda ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Amiruddin atas kepimpinan beliau yang luar biasa, komitmen tidak berbelah bahagi serta perkhidmatan cemerlang yang dicurahkan sepanjang tempoh mengetuai Felda, menurut kenyataan itu.

 

 

PALING POPULAR

To Top