SHAH ALAM — Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada individu lain bertanding.
Menurut beliau, dakwaan tersebut hanyalah khabar angin yang tidak berasas dan bersifat spekulatif. “Itu hanyalah imaginasi. Proses mengosongkan kerusi bukan semudah yang disangka. Ia memerlukan penelitian yang rapi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Shah Alam.
Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor memberi reaksi terhadap dakwaan bahawa kerusi DUN Sungai Tua akan dikosongkan bagi membuka ruang kepada individu lain untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).
Terdahulu, pada Jumaat lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO serta pengunduran dirinya daripada parti tersebut, sambil menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
