Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa menyangkal tuduhan bahawa ia telah gagal melaksanakan tugas mengawal kenaikan harga barang sehingga timbul cadangan untuk membubarkannya.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata ia termasuk tuduhan pasukan itu gagal mengawal kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.
Katanya, pasukan itu tidak akan dibubarkan sebaliknya terus bekerja keras untuk memastikan harga barangan dapat dikawal seterusnya membantu rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
“Misalnya harga minyak masak turun 40 sen, harga ayam turun…rakyat tetap merasa (penurunan harga). Pasukan ini tidak akan dibubar, banyak lagi kerja kita. Hal berkaitan polisi monetari negara bukan di bawah kuasa pasukan khas ini atau Kabinet, sebaliknya ditentukan jawatankuasanya sendiri (Jawatankuasa Dasar Monetari).
“Kabinet mahupun jawatankuasa kecil yang dibentuk Kabinet (Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi) tak boleh nak mengetepikan dasar monetari kerana ia ada undang-undang sendiri. OPR ditetapkan mengambil kira banyak faktor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan dan raptai sambutan Hari Malaysia 2022 di Banda Hilir, di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin dan Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Nordin.
Tegas Annuar, jika harga barang meningkat kerajaan tidak berdiam diri sebaliknya berusaha mengambil langkah intervensi untuk membantu rakyat.
Beliau berkata harga barangan dalam negara masih terkawal dan rendah jika dibandingkan negara jiran, hingga timbul masalah penyeludupan apabila harga barangan di Malaysia lebih murah.
Justeru, kerajaan akan terus meningkatkan kawalan di sempadan untuk memastikan barangan dari Malaysia tidak diseleweng ke negara jiran, katanya.
— BERNAMA