Umum

Ant Digital Lancar Hab AI di Malaysia, Perkukuh Infrastruktur Perkhidmatan Pelanggan

Ant Digital Technologies mengumumkan pelancaran hab operasi baharunya di Malaysia menerusi produk kecerdasan buatan (AI) utamanya, ZOLOZ, dalam langkah memperkukuh infrastruktur digital dan meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan tempatan.

Hab tersebut dijangka mempercepat masa respons, memperkukuh pemprosesan data di lapangan serta memperluas penawaran penyelesaian identiti digital yang lebih selamat dan lancar kepada pelanggan di Malaysia.

Menurut syarikat itu, ZOLOZ menggabungkan teknologi kecerdasan buatan, pengecaman wajah serta kecerdasan risiko dinamik dalam rangka kerja teknologi canggihnya. Setakat ini, penyelesaian tersebut telah menyokong pengguna di 30 negara dan wilayah.

Ketua Inovasi dan Penyelesaian Antarabangsa Ant Digital Technologies, Garry Sien berkata, penubuhan hab di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam pengembangan pasaran antarabangsa syarikat itu.

“Berdasarkan kejayaan operasi kami di Hong Kong, Singapura dan Indonesia, penubuhan hab ZOLOZ Malaysia membuktikan komitmen kami untuk melabur dalam infrastruktur digital tempatan serta menyampaikan penyelesaian AI yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan Malaysia,” katanya.

Langkah itu selari dengan usaha Malaysia memperkukuh ekosistem digital negara, termasuk pelaksanaan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) yang memberi penekanan kepada keselamatan, keterangkuman dan kemampanan dalam transformasi digital.

Laporan e-Conomy SEA 2025 yang diterbitkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company turut menunjukkan Malaysia meraih 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan AI Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negara sebagai destinasi utama pelaburan AI di rantau ini.

Pada April 2025, Ant Digital Technologies telah menubuhkan ibu pejabat antarabangsa di Hong Kong sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya.

Setakat ini, syarikat itu telah berkhidmat kepada lebih 10,000 pelanggan perusahaan serta menjalin kerjasama dengan lebih 300 rakan ekosistem di peringkat global.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top