Umum

‘Anwar tak patut anggap projek rundingan terus tidak teratur’

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengganggap semua projek melalui tender rundingan terus sebagai tidak teratur.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri, Anwar mengetahui bahawa rundingan terus kepada projek tebatan banjir yang perlu disegerakan bukanlah satu kesalahan perolehan.

“Beliau tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, semua proses rundingan kawal selia prosedur kewangan mestilah diteliti secara ketat mengikut tatacara, prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tender terpilih khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain. Namun, sekali lagi saya tegaskan ia mesti mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendedahan Anwar bahawa kelulusan mutakhir RM7 bilion projek tebatan banjir dibuat secara tidak teratur.

Tegas Anwar, alasan membantu menyegerakan projek tebatan banjir dengan tidak mematuhi peraturan adalah amat dikesalkan dan umpama mencari kesempatan.

Pada pembentangan Bajet 2023, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) hingga tahun 2030 sebagai strategi jangka panjang negara menghadapi perubahan iklim.

Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tahun 2023 sebahagian besar projek akan dijalankan dengan anggaran RM700 juta.

Antara projek utama digerakkan termasuklah pertama pelaksanaan Projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

Selain itu, pembinaan Kolam Takungan Dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sumber pembekalan air mentah.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top