Sektor penerbangan Malaysia bakal menyaksikan kemunculan pemain baharu apabila Ascend Airways Malaysia disahkan menerima kelulusan operasi dan dijadual memulakan penerbangan komersial bulan depan.
Dalam kenyataannya, Ascend Airways Malaysia memaklumkan bahawa syarikat itu telah memperoleh Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekaligus membolehkannya memulakan operasi rasmi.
Syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur itu merupakan anak syarikat Avia Solutions Group, sebuah penyedia global perkhidmatan pesawat, kru, penyelenggaraan dan insurans (ACMI) yang berpangkalan di Ireland.
Menurut syarikat itu, operasi awal akan bermula menggunakan pesawat Boeing 737-800SF, dengan perancangan menawarkan perkhidmatan ACMI dan sewaan khas bagi operasi penumpang serta kargo di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Ascend Airways Malaysia, Germal Singh Khera, berkata kemasukan Ascend Airways ke pasaran tempatan akan menyokong pertumbuhan sektor penerbangan negara yang dijangka meningkat pesat.
“Kami mahu menjadi penyedia ACMI yang fleksibel dan boleh dipercayai bagi membantu pengembangan industri penerbangan Malaysia, yang dijangka mencatat peningkatan trafik penumpang antara 8.4 hingga 15.6 peratus pada 2025,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kedudukan strategik Malaysia sebagai hab logistik dan penerbangan serantau yang menghubungkan Asia Tenggara, China dan India memberi kelebihan untuk pertumbuhan masa hadapan Ascend Airways.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata pengeluaran sijil operasi kepada Ascend Airways mencerminkan pemenuhan proses penilaian yang ketat dan menyeluruh, serta memuji ketekunan syarikat tersebut sepanjang proses pelesenan.
Buat masa ini, penerbangan penumpang Ascend Airways dijangka bermula pada suku pertama 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan tambahan.
Avia Solutions Group kini mengendalikan 187 pesawat di seluruh Eropah, Asia dan Amerika, menjadikannya antara kumpulan penerbangan ACMI terbesar di dunia.
 
													
																							 
						 
					 
						 
					 
									 
						 
													
 
						 
													 
						 
													 
						 
													 
						 
													 
						 
													 
						