Umum

‘Ayahanda’ dan tujuh pengikut ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ ditahan JAIP kerana ajaran sesat

Gambar JAIP

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan lapan individu termasuk ketua kumpulan yang digelar ‘Ayahanda’, dipercayai terlibat dalam ajaran sesat dikenali sebagai ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’.

Serbuan dijalankan pada Jumaat lalu kira-kira jam 2.30 petang di sebuah bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, Jerantut.

Menurut Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, kesemua yang ditahan berusia antara 45 hingga 66 tahun termasuk seorang wanita.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan pelbagai dokumen dan bahan yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bahan berunsur kurafat dirampas

Antara barangan yang dirampas termasuk tongkat, ikatan kain kuning dan hitam, batu berlilit kain kuning, pelekat bertulis ‘solat jamak fardu seumur hidup’, nota selawat serta ikrar mencurigakan, dan sebuah komputer riba.

Siasatan awal mendapati, ketua kumpulan berusia 45 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut dan bekerja sendiri. Dia dipercayai menyewa premis berkenaan untuk didiami bersama empat anaknya berusia antara lapan hingga 15 tahun.

Tujuh lagi pengikutnya terdiri daripada individu bekerja sendiri dan penganggur dari luar Pahang yang turut menetap di lokasi tersebut.

Disiasat di bawah Enakmen Syariah

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 berhubung ajaran sesat dan penyebaran doktrin yang menyeleweng daripada Islam.

Semua suspek telah dibebaskan dengan jaminan pegawai penguat kuasa JAIP pada Sabtu sementara menunggu siasatan lengkap.

Ahmad Khirrizal turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kegiatan kumpulan berkenaan atau seumpamanya di kawasan masing-masing.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top