Umum

Banjir kilat di Daerah Penampang, Sipitang

Gambar Facebook

Daerah Penampang dan Sipitang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak petang Ahad.

Menerusi satu kenyataan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan berikutan banjir kilat itu Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom, Jalan Limbanak, dan Jalan Pukakon-Pomotodon di Penampang tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Selain banjir kilat, terdapat juga kejadian cerun runtuh di Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom sekitar Kampung Timpoluon, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan namun buat masa ini tiada jalan alternatif yang boleh digunakan pengguna,” katanya.

JKR turut memaklumkan banjir kilat turut menyebabkan beberapa jambatan di Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon dinaiki air serta boleh membahayakan situasi kepada pengguna, selain menyatakan buat masa ini, tiada jalan alternatif untuk pengguna di kedua-dua jalan tersebut.

Banjir kilat juga berlaku di beberapa kawasan sekitar Sipitang antaranya Jalan Kota Kinabalu-Sindumin, kawasan Pekan Sipitang dan Pasar Awam Sipitang.

“Hujan berterusan menyebabkan paras air laut naik dan menyebabkan ‘backflow discharge drainage’. Buat masa ini jalan terlibat masih boleh dilalui kenderaan, namun pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, IPD Penampang dalam kenyataan berasingan memaklumkan beberapa kampung turut terlibat dalam banjir kilat itu antaranya Kampung Kolopis, dan Kampung Sugud selain terdapat penutupan jalan dilakukan.

“Orang awam diminta untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan lain berikutan beberapa jalan di sekitar Penampang dinaiki air susulan hujan lebat,” menurut kenyataan itu.

Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang ditugaskan ke kawasan jalan dilanda banjir kilat untuk membantu pengguna jalan raya.

“Anggota bertindak melencongkan kenderaan supaya tidak melalui jalan yang dinaiki air akibat banjir dan tanah runtuh selain mengawal keselamatan lalu lintas,” menurut kenyataan itu.

PALING POPULAR

To Top