Hujan lebat lebih dua jam yang berlaku di daerah ini petang semalam (25 Oktober, 2022) menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Pekan Pendang dinaiki air secara mendadak.
Antara kawasan terjejas adalah Taman Teratai dan Kampung Paya Kelubi, di sini berikutan hujan lebat sejak jam 5 petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, berkata 11 rumah di Kampung Paya Kelubi dinaiki air manakala Taman Teratai turut dinaiki air namun tidak memasuki rumah penduduk.
“Hasil pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang malam tadi, mendapati air sudah mulai surut namun penduduk dinasihatkan lebih berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat.
“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” katanya.
Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran turut melaporkan paras air Sungai Pendang di Pekan Pendang, telah melebihi tahap waspada apabila mencatat bacaan 2.28 meter (m), berbanding 1.80m paras normal, sehingga jam 10 pagi ini.
Sumber: Agenda Daily