Umum

Banjir Perak: Hampir 2,000 Penduduk Dipindahkan ke 23 PPS

Situasi banjir di negeri Perak dilaporkan semakin memburuk apabila seramai 1,931 penduduk di daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung terpaksa dipindahkan ke 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 4.00 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, PPS diaktifkan secara berperingkat bagi menampung peningkatan paras air dan jumlah penduduk yang terjejas akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Di daerah Larut, Matang dan Selama, beberapa PPS dibuka termasuk Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Perdana Trong, Sekolah Kebangsaan Simpang, serta beberapa masjid dan dewan serbaguna berhampiran.

Sementara itu di Manjung, seramai 378 penduduk daripada 115 keluarga turut dipindahkan dan kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis, dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Operasi menyelamat dan penyaluran bantuan sedang giat dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan di negeri itu. Paras air di Sungai Kurau dan Sungai Kerian turut dilaporkan hampir mencapai tahap amaran.

Pihak berkuasa menasihati penduduk di kawasan rendah supaya berwaspada dan mematuhi arahan pemindahan sekiranya keadaan cuaca terus memburuk.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top