Umum

Bank perketat syarat buka akaun baharu

Gambar Hiasan

Susulan peningkatan kes melibatkan akaun keldai oleh scammer yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit rakyat Malaysia, bank akan mengenakan syarat yang lebih ketat untuk pembukaan akaun baharu.

Memetik FMT, Sumber perbankan memberitahu bahawa bank diarah untuk memastikan pemohon baharu mengemukakan dokumen sumber pendapatan mereka atau surat dari majikan.

Sekiranya tidak, permohonan mereka akan ditolak walaupun mereka ingin mendepositkan sejumlah besar wang.

Menurut laporan FMT tersebut, dikatakan bank kini memberikan perhatian khusus kepada pelajar, suri rumah, dan warga emas yang ingin membuka akaun.

Ini adalah kerana kumpulan ini sering terlibat dalam sindiket penipuan sebagai sebahagian daripada modus operandi mereka, sama ada secara sedar atau tidak.

Akaun yang dibuka oleh pelajar, suri rumah, atau warga emas sering menjadi akaun pertama yang digunakan untuk menerima wang hasil penipuan.

“Sebahagian yang tidak bersalah, tidak sedar bahawa data peribadi mereka digunakan untuk membuka akaun bank, yang kemudiannya digunakan oleh scammer.

Terdapat juga yang dibayar untuk membuka akaun tetapi tidak sedar bahawa akaun tersebut digunakan untuk menipu orang lain, katanya kepada FMT.

Bagi pelajar, sumber tersebut berkata bank kini memerlukan mereka untuk menunjukkan bukti surat tawaran ke kolej serta kad pelajar mereka.

Satu lagi sumber berkata ramai pelajar disenarai hitamkan oleh Bank Negara selepas didapati membuka akaun keldai yang digunakan oleh scammer.

Pelajar ini tidak akan dibenarkan membuka akaun bank sehingga membersihkan nama mereka, katanya.

Akibatnya, sebahagian pelajar menghadapi masalah dalam mendapatkan pinjaman pelajaran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan institusi kewangan lain.

Bank tidak dapat banyak membantu kerana kebanyakan kes ini berkaitan dengan pengubahan wang haram. Oleh itu, kami perlu berhati-hati untuk memastikan akaun tidak digunakan scammer, sama ada secara sedar atau tidak, kata sumber tersebut.

Pada 2023, sebanyak 34,497 kes penipuan dalam talian yang melibatkan kerugian berjumlah RM1.218 bilion dilaporkan di seluruh negara.

Penipuan yang menggunakan peraduan SMS, penyamaran dalam talian, dan panggilan telefon palsu dari pihak berkuasa mencatatkan kes tertinggi, dengan 10,348 kes melibatkan kerugian berjumlah RM352.9 juta.

Pada 2021, sebanyak 29,769 akaun bank didapati telah digunakan sebagai akaun keldai. Sehingga 10 Mei 2022, sebanyak 1,669 ‘akaun keldai’ direkodkan.

Dari jumlah itu, seramai 12,659 orang ditangkap dan didakwa dengan pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah.

 

 

Sumber FMT

 

 

PALING POPULAR

To Top