Umum

Bank Rakyat Perkenal Pembiayaan Perumahan Fleksibel Mortgage Suite-i

Bank Rakyat memperkenalkan produk pembiayaan perumahan baharu, Mortgage Suite-i, bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri dengan lebih mudah dan berpatutan.

Produk patuh Syariah ini menawarkan penyelesaian kewangan menyeluruh melalui dua pilihan utama — pembiayaan baharu dan pembiayaan semula — bergantung kepada keperluan pelanggan sama ada untuk membeli rumah pertama, menaik taraf kediaman sedia ada, atau menyusun semula kewangan mereka.

Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman, berkata Mortgage Suite-i menandakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan koperasi Islam pilihan rakyat.

“Dengan margin pembiayaan sehingga 120% dan kadar keuntungan kompetitif, kami yakin Mortgage Suite-i mampu menjadi pemangkin kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah dengan lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa margin pembiayaan yang tinggi turut meliputi kos tambahan seperti pengubahsuaian rumah, pembelian perabot dan pembiayaan pendidikan, sekali gus membantu pelanggan mengurus keperluan kewangan mereka secara menyeluruh.

“Produk ini bukan sekadar membantu pelanggan memiliki rumah impian, tetapi juga menyokong perancangan kewangan jangka panjang mereka,” jelasnya.

Pelancaran Mortgage Suite-i diadakan serentak dengan Mini Karnival Rumah Impian Bank Rakyat, yang berlangsung pada 30 dan 31 Oktober di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Karnival itu menampilkan pameran hartanah, perabot, reka bentuk dalaman, peralatan rumah pintar serta trak makanan. Antara rakan strategik yang terlibat termasuk Sime Darby Property, S P Setia, UDA Land, MK Land serta beberapa pengendali takaful.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memohon produk lain seperti pembiayaan peribadi InstaCash dan Kad Kredit-i, serta mendapatkan khidmat rundingan kewangan secara terus daripada pegawai Bank Rakyat.

Menurut Bank Rakyat, pengenalan Mortgage Suite-i mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam memperluas akses pembiayaan perumahan patuh Syariah, sejajar dengan agenda nasional meningkatkan kadar pemilikan rumah di Malaysia.


PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top