Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 17%, berjumlah RM486.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, kepada seramai 773,859 anggota.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, bank itu mengekalkan pembayaran dividen dua digit sejak 20 tahun lepas.
“Saya yakin pencapaian ini hasil komitmen Bank Rakyat untuk memenuhi mandat dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggan, di samping memberikan keadilan serta kemakmuran merentasi semua lapisan masyarakat,” katanya kepada media.
Pengerusi Bank Rakyat, Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata bank itu mencatatkan peningkatan 3.15% tahun ke tahun dalam keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada RM1.82 bilion daripada RM1.76 bilion pada tahun kewangan 2023.
“Ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, didorong keadaan ekonomi domestik bertambah baik. Faktor ini membolehkan bank ini kekal berdaya tahan, meskipun dalam ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, berkata bank itu berhasrat mengekalkan momentum pertumbuhan dengan menyasarkan pasaran bukan Bumiputera.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meneroka segmen ini. Kami telah melancarkan beberapa program, terutamanya untuk komuniti India dan banyak lagi yang akan dilaksanakan.
“Paling penting, kami bekerjasama dengan pemain utama untuk membantu kami menjangkau pasaran ini. Walaupun terlibat segmen ini sebelum ini, kami kini menggiatkan usaha, terutamanya memandangkan majoriti pendeposit kami bukan Bumiputera, yang menyumbang kepada asas pelanggan sedia ada yang kukuh,” ujarnya.
