Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi tahun 2026 akan diteruskan dengan pemberian RM150 secara one-off kepada lebih 5.2 juta murid sekolah, termasuk pelajar Tingkatan Enam, bagi membantu meringankan kos persediaan kelengkapan persekolahan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa bagi tahun 2026, kaedah penyaluran bantuan akan kembali dilaksanakan secara serahan tunai di sekolah, menerusi program pertemuan antara guru dan ibu bapa.
Menurut KPM, pendekatan ini bukan sahaja bertujuan memastikan penyampaian bantuan dilakukan dengan lebih berkesan dan teratur, malah berperanan mengukuhkan hubungan kerjasama antara guru, murid dan ibu bapa dalam menyokong ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan murid sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi kementerian itu.
Bantuan Awal Persekolahan diperkenalkan sebagai antara langkah proaktif kerajaan bagi memastikan murid dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih bersedia, sekali gus menyokong usaha memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
