Business

Bazar Amal Kumpulan Genting 2025 Semarakkan Sambutan 60 Tahun Dengan Semangat Memberi

Sempena sambutan ulang tahun ke-60, Kumpulan Genting bakal menganjurkan Bazar Amal Kumpulan Genting 2025 pada 13 Jun 2025 (Jumaat), dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang bertempat di Tempat Letak Kereta Plaza, Wisma Genting. Acara ini terbuka kepada orang ramai dan mengalu-alukan semua lapisan masyarakat untuk hadir dan bersama-sama menyemarakkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan amal jariah.

Dengan lebih 60 gerai meriah yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, barangan gaya hidup, produk kesihatan serta aktiviti interaktif, bazar ini menjanjikan satu pengalaman komuniti yang menghiburkan dan bermakna.

Sajian Enak dan Pilihan Gaya Hidup Menarik

Pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai hidangan istimewa termasuk nasi lemak, briyani, rendang, pasta, mihun goreng, ayam goreng, serta snek kegemaran ramai seperti kuih nyonya, karipap, burger, wrap, kek dan sosej. Terdapat juga minuman klasik dan moden seperti teh Hainan, kopi uncang, asam boi, soda lemon dan minuman ringan yang sesuai dinikmati sepanjang hari.

Bagi mereka yang gemar barangan segar, bazar ini turut menampilkan hasil tani seperti tembikai, anggur, jagung manis, labu dan salad, selain produk masakan premium seperti sos lobster, kam heong dan sambal udang daripada Flavors of Genting serta aneka sambal tradisional dari Dapur Yogyakarta.

Untuk peminat gaya hidup dan rumah tangga, bazar menawarkan produk daripada jenama terkenal seperti Akemi, Tupperware, Montigo, Pensonic, Cornell dan Watson. Manakala pencinta fesyen dan penjagaan diri boleh mendapatkan beg tangan, kasut, minyak wangi, jam tangan, produk kesihatan dan aromaterapi daripada vendor seperti Eu Yan Sang, BeaconMart dan banyak lagi.

Aktiviti Hiburan, Komuniti dan Kitar Semula

Menambah keceriaan suasana, pelbagai aktiviti persembahan akan dijalankan sepanjang hari seperti tarian singa, persembahan muzik langsung, zumba dan tarian tradisional Baris. Aktiviti interaktif turut tersedia, termasuk permainan realiti maya (VR), cabutan bertuah, tikam-tikam, hadiah kotak misteri, serta perkhidmatan seperti cucian kereta, bacaan kad tarot, dan ramalan wajah.

Tidak ketinggalan, kemunculan maskot Genting Highlands Heroes yang akan bergambar bersama pengunjung — satu momen yang pasti menggembirakan kanak-kanak dan seisi keluarga.

Sebagai usaha menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam, turut diadakan jualan barangan terpakai, kraf tangan, serta bengkel kitar semula sabun.

Bazar Dengan Misi Murni

Kesemua pembelian di bazar ini akan menggunakan buku kupon eksklusif bernilai RM200, dalam denominasi RM5. Buku kupon ini boleh dibeli di lokasi pada hari acara. Selain itu, orang ramai juga boleh menyumbang terus ke tabung amal menerusi akaun bank rasmi:

Maybank (Genting Berhad)

No. Akaun: 514356803616

Gunakan rujukan: “Genting Charity Bazaar 2025”

Hasil kutipan daripada bazar dan sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada tiga badan kebajikan terpilih:

1. Shelter Home for Children, Petaling Jaya

2. Pusat Jagaan Rumah Sejahtera, Bentong

3. Kechara Soup Kitchen Society, Kuala Lumpur

 

Usaha Murni Sempena 60 Tahun Genting

Menurut Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Kumpulan Genting, Encik Spencer Lee, bazar ini adalah antara inisiatif bermakna dalam menyambut ulang tahun ke-60 syarikat:

“Bazar Amal tahun ini amat bermakna bersempena sambutan 60 tahun Kumpulan Genting. Kami mengalu-alukan penyertaan lebih ramai pihak untuk bersama-sama menyokong usaha membantu mereka yang memerlukan.”

Sebagai penghargaan kepada komuniti yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan syarikat selama enam dekad, Bazar Amal 2025 diadakan bagi meraikan nilai kasih sayang, perpaduan dan semangat memberi.

📌 Jangan lepaskan peluang untuk menyertai hari penuh makna ini. Bazar Amal Kumpulan Genting 2025 – raikan kebaikan, semai keprihatinan.

#Genting60Tahun #BazarAmal2025 #KomunitiPrihatin #GentingUntukSemua #NHOnline

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top